Teliti penugasan polis di stesen minyak

Teliti penugasan polis di stesen minyak

SAIFUDDIN Nasution ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk memperhalusi mekanisme penugasan dan perundangan anggota khususnya bagi aspek penguatkuasaan di stesen mi­nyak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perincian itu penting berikutan tugas hakiki pasukan keselamatan itu sebagai pasukan kawalan keselamatan negara.

Beliau berkata, keperluan me­nempatkan polis di stesen minyak di sempadan berikutan premis berkenaan juga menjadi pintu kepada aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata, buat masa ini, sebanyak 4,000 stesen mi­nyak dikenal pasti beroperasi di sekitar sempadan negara.

“Bagaimanapun, kita bukan hendak jaga 4,000 stesen mi­nyak. Kita hendak jaga 170 ste­sen minyak sahaja yang dekat de­ngan sempadan.

“Pertama, kita kenal pasti dahulu apa maksud penugasan. Akta mana mahu diguna pakai dan pasukan mana yang kita mahu tugaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN semalam.

Katanya, beliau juga menge­syorkan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mendapatkan nilai jualan minyak setiap stesen minyak berdekatan dengan sempadan.

Saifuddin berkata, jika nilai jualan di stesen minyak berkenaan meningkat secara tiba-tiba maka aspek penguatkuasaan perlu ditumpukan kepada stesen minyak berkenaan.

“Kalau nilai jualan itu mencanak tak masuk akal dan tidak munasabah maka fokus penguatkuasaan dibuat di situ te­rus.

“Itu maknanya kerja secara bijak berdasarkan data sedia ada dan data itu mesti dikongsi oleh kementerian yang berkenaan sebab tugas kita hanya membantu,” katanya.

Katanya, aspek penguatkuasaan itu akan diteruskan selagi konflik dan krisis tenaga ini berlarutan dengan dengan penilaian dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan di lapangan.

Jelasnya lagi, pelaksanaan operasi juga akan mengambil kira keupayaan semasa pasukan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.

Ia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan anggota ketika menjalankan tugas di lapangan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN