ARAU: Penat lelah seorang nelayan, Yusni Mat Yusop,49, mencari rezeki bagi menyediakan keperluan keluarga berbaloi apabila anaknya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Yusni yang baru pulang menangkap ikan di laut tidak dapat menahan sebak apabila Nur Diana Zahirah Yusni,18, setia menunggu di jeti nelayan di Kampung Sanglang di sini bagi menunjukkan keputusan tersebut kepadanya.
Lebih membanggakan, Nur Diana menjadi pelajar pertama dalam sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang terletak di pinggir bandar mendapat keputusan semua A.
Nur Diana berkata, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun ia tidak mengganggu tumpuannya untuk berjaya selain kepayahan keluarga menjadi pemangkin semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
Kata anak ketiga daripada empat beradik itu, selain bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu, bapa turut melakukan kerja-kerja di bendang bagi mencari rezeki menyediakan keperluan kepada anak-anak khususnya dalam pendidikan
“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya di masa depan seterusnya membantu mengubah nasib keluarga. Saya melihat sendiri bagaimana kepayahan ayah keluar awal pagi dan pulang keesokan hari bagi mencari rezeki dengan turun ke laut menangkap ikan.
“Apa jua keperluan belajar, ayah akan sentiasa memenuhinya meskipun saya sedar ia kadang-kala memerlukan kos yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nur Diana berkata, dia bercita-cita menjadi seorang guru bahasa Inggeris dan berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Saya juga tidak sangka memperoleh keputusan semua 9A memandangkan pada peperiksaan percubaan, saya hanya mendapat 5A. Saya yang berkongsi bilik dengan dua adik beradik lain selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam selain mengamalkan solat Tahajud,” katanya.
Sementara itu, Yusni berkata, tidak ada kata-kata bagi mengambarkan kegembiraan dan rasa syukur melihat anaknya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang sekali gus menghilangkan rasa penat dan lelah.
“Alhamdulilah, anak berjaya dengan cemerlang dan ia juga merupakan hasil atas usaha anak yang sentiasa rajin belajar selama ini meskipun dalam serba kekurangan.
“Sebagai nelayan, pendapatan tidak menentu dan pernah pulang dengan tangan kosong namun saya akan sentiasa berusaha mencari rezeki bagi memenuhi keperluan keluarga,” katanya.-UTUSAN










