Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor lambang kematangan Unimap - Utusan Malaysia

Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor lambang kematangan Unimap

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor Unimap di Pauh Putra, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini membawa makna cukup besar, bukan sahaja sebagai sebuah binaan fizikal megah, namun turut melambangkan kematangan institusi tersebut.

Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, selain itu, dewan tersebut juga melambangkan keutuhan tradisi akademik dan aspirasi tinggi universiti berkenaan dalam mencapai kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, dalam masa sama, dewan tersebut juga bakal menjadi mercu acara berprestij bukan sahaja buat universiti, malah untuk negeri ini secara keseluruhan.

“Ia merangkumi penganjuran majlis konvokesyen, persidangan serta pelbagai acara rasmi bertaraf negeri dan kebangsaan,” katanya bersempena Majlis Permasyhuran Dewan Tuanku Canselor, di sini semalam.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat merasmikan majlis permasyhuran tersebut.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Zaliman berkata, penamaan Dewan Tuanku Canselor ini juga merupakan tanda penghormatan tinggi kepada institusi diraja, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara universiti dan institusi diraja sebagai penaung kecemerlangan ilmu.

“Marilah kita menjadikan detik permasyhuran ini sebagai titik tolak ke arah penciptaan legasi yang lebih gemilang. Semoga dewan ini sentiasa dipenuhi dengan ilmu yang bermanfaat, wacana berkualiti serta usaha yang membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Katanya, dewan itu juga amat signifikan sebagai simbol kecemerlangan akademik dan daya saing Unimap dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

“Ini seiring dengan perkembangan pesat universiti yang kini mencatatkan enrolmen hampir 15,000 pelajar dan kebolehpasaran graduan (GE) melebihi 99 peratus dalam pelbagai lapangan industri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN