KUANTAN: Kerajaan Pahang mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan kerajaan negeri, berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira keluh kesah rakyat dan cabaran peningkatan kos sara hidup yang semakin dirasai ketika ini kesan daripada situasi yang berlaku di Timur Tengah.
Beliau berkata, ia juga langkah prihatin kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual, tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing.
“Pada masa yang sama, penjawat awam negeri diharapkan dapat terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar ini,” katanya di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan-majikan lain di Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.
“Kerajaan negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja, di samping mewujudkan suasana kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa,” katanya. – UTUSAN










