KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, lima aspek utama perlu diberikan perhatian dalam usaha menambah baik pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perlis.
Pencapaian terbaik itu perlu berterusan dalam landskap pendidikan semakin dinamik melalui pascanilai yang telus dan menyeluruh serta strategik.
Baginda bertitah, aspek pertama melibatkan penelitian trend pencapaian SPM di Perlis bagi tahun terkini dan tahun-tahun sebelumnya secara menyeluruh merangkumi prestasi sekolah dan mata pelajaran bagi mengenal pasti pola peningkatan yang boleh diperkukuh.
“Aspek kedua pula berkaitan pemahaman terhadap variasi prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar serta antara kelompok murid berlatar belakang berbeza bagi memastikan peluang kecemerlangan dapat diperluas secara lebih inklusif.
“Ketiga, analisis calon yang memerlukan sokongan tambahan melibatkan faktor kehadiran, motivasi, disiplin, sosioekonomi dan sokongan keluarga agar intervensi yang dirancang lebih bersasar dan berkesan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian, Anugerah Khas SPM 2025 dan Anugerah Cemerlang Sukan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis itu, seramai 51 calon SPM 2025 menerima anugerah masing-masing iaitu tiga penerima Anugerah Cemerlang, 10 penerima Anugerah Kepujian dan 38 penerima Anugerah Khas manakala dua penerima Anugerah Cemerlang dalam bidang sukan.
Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, aspek keempat pula penilaian terhadap keberhasilan program intervensi sedia ada dengan meneliti impaknya dalam meningkatkan pencapaian murid dan mengenal pasti amalan terbaik untuk diperluas.
‘Aspek kelima membabitkan penambahbaikan berterusan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya daripada segi pendekatan pedagogi dan penggunaan modul serta pemantauan yang lebih sistematik,” titah baginda.-UTUSAN










