PASIR MAS: Taktik licik seorang lelaki menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ untuk menyeleweng bahan bakar diesel terbongkar selepas ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Kampung Buloh Melintang, Kangkong, di sini, kelmarin.
Serbuan pukul 12.17 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan selepas anggota penguat kuasa menerima maklumat sebuah lori disyaki melakukan pengisian minyak di beberapa stesen sekitar Kubang Kerian dan Pasir Mas.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata, anggota bertugas terus mengekori kenderaan dan mendapati pemandunya berusia 20-an sedang menyambungkan hos dari tangki lori ke tong jerikin bagi tujuan pemindahan diesel.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori telah diubah suai kepada kapasiti lebih besar bagi menyimpan minyak diesel, dipercayai untuk tujuan penjualan tanpa kebenaran.
“Soal siasatan awal, suspek turut mengaku secara lisan menjual diesel kepada sebuah syarikat tempatan di lokasi sama.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari.
Aswadi memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 275 liter minyak diesel serta sekeping kad fleet sebagai bahan bukti.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.
Media sebelum ini seorang lelaki diberkas di Kampung Simpangan di sini semalam selepas dipercayai menyalahgunakan ‘fleet card’ milik rakannya di tiga buah stesen minyak sebelum menyeludup bahan api itu ke Thailand.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 49 tahun itu yang memandu lori jenis Daihatsu mengisi diesel di stesen minyak Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu di sini sebelum ke Tendong, Pasir Mas pada pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.-UTUSAN










