Lelaki cedera ditembak selepas cuba bunuh polis guna parang depan UiTM Machang - Utusan Malaysia

Lelaki cedera ditembak selepas cuba bunuh polis guna parang depan UiTM Machang

ANGGOTA unit forensik polis melakukan siasatan kes tembak di hadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki selepas cuba membunuh anggota pasukan itu menggunakan parang dalam kejadian di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11.17 malam itu, suspek yang memiliki sembilan rekod jenayah cedera pada bahagian pahanya selepas ditembak anggota polis semasa cuba mempertahankan diri daripada serangan lelaki berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semasa melakukan rondaan cegah jenayah sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang telah melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, salah seorang daripada mereka  mengeluarkan sebilah parang dan bertindak melibas senjata tersebut ke arah anggota polis.

“Anggota polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri dan mengelakkan kecederaan serius.

“Kedua-dua suspek melarikan diri, bagaimanapun, salah seorang daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dalam satu operasi segera di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, suspek yang ditahan mengalami kecederaan pada bahagian paha dan kini berada dalam keadaan stabil semasa dirawat di hospital.

Katanya, anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, ugutan jenayah, senjata berbahaya, menghalang tugas penjawat awam, keganasan rumah tangga, menerima harta curi, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah

“Kesemua rekod itu menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya,  kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN