ARAU: Pelantikan Ketua Pembangkang baharu Perikatan Nasional (PN) dijangka diketahui sebelum sidang Parlimen Jun depan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, barisan kepemimpinan tertinggi PN bersama ahli Parlimen gabungan itu ketika ini masih berbincang mengenai pemilihan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam masa sama, kata Ahli Parlimen Arau itu, pelantikan tersebut juga perlu menunggu keputusan Pas Pusat yang akan mengadakan perbincangan sama ada pada bulan ini atau Mei depan.
“Sebarang keputusan rasmi mengenai jawatan itu (Ketua Pembangkang) akan diputuskan dalam tempoh terdekat atau selewatnya sebelum berlangsungnya sidang Parlimen depan.
“Apa yang paling penting ialah pelantikan sebelum Parlimen bermula. Ia penting kerana rakyat ingin tahu perkembangan mengenainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Ummah Parlimen Arau di sini semalam.
Isu kedudukan Ketua Pembangkang terus menjadi tumpuan susulan status Hamzah yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Februari lalu, masih memegang jawatan tersebut sehingga kini.
Sementara itu, Shahidan berkata, fokus utama blok pembangkang ketika ini bukan berhubung soal jawatan tersebut, sebaliknya tumpuan lebih besar terarah kepada isu nasional dan ancaman keselamatan global.
Katanya, sebagai contoh berkaitan isu kenaikan harga minyak dan kedudukan strategik Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan minyak dunia yang memerlukan perhatian serius kerajaan.
”Selat Melaka adalah antara laluan minyak paling sibuk di dunia, apa yang terjadi dalam peperangan di Iran memberi kesan kepada Malaysia.
“Disebabkan itu kita perlu membincangkan perkara berkaitan keselamatan masa depan dan ancaman global kepada negara dan perkara ini tidak boleh diambil mudah,” katanya.-UTUSAN










