SUNGAI PETANI: Keluarga wanita yang cedera parah termasuk mengalami keguguran dipercayai akibat dipukul suami mahu pelaku segera ditangkap untuk diadili mengikut proses undang-undang kerana bertindak kejam.
Abang sulung mangsa, Mohd. Firdaus Mokhtar, 45, berkata, perbuatan lelaki itu terhadap adik ketiga daripada lima beradik itu harus dikenakan hukuman setimpal kerana bertindak kasar dengan wanita.
“Tambahan pula ini bukan kali pertama suaminya bertindak kasar hingga menyebabkan kami terpaksa campur tangan berikutan terkesan dengan derita mental dan fizikal yang dialami adik.
“Kecederaan dialami adik kali ini teruk termasuk kehilangan kandungan berusia 12 minggu, jadi kami harap dia segera ditangkap bagi mengelak trauma berpanjangan terhadap nasib dialami adik,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Menurut Firdaus, sejak mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas kejadian pada petang Khamis lalu, adiknya sering mengadu sakit di seluruh badan termasuk tidak dapat mengunyah makanan kerana cedera di bahagian rahang.
“Adik turut dipijak di bahagian kepala dan leher oleh suaminya, selain dua jari tangan kirinya patah terkena pukulan besi semasa kejadian itu. Malah dia dilihat sering menangis dan murung dan ini dipercayai akibat trauma dengan kejadian yang menimpanya,” katanya.
Menurut Firdaus, adiknya mempunyai dua anak berumur tujuh dan sembilan tahun hasil perkahwinan terdahulu sebelum berkahwin dengan pelaku di negara jiran, Disember lalu.
“Selepas kejadian itu saya membuat semakan dengan rakan-rakan dan mendapati pelaku turut terlibat dalam beberapa kes memukul bekas isterinya sebelum ini. Kami terkejut kerana dia berperwatakan baik tiap kali bertemu, namun selepas kejadian ini baru kami tahu sikapnya yang sebenar,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun keguguran selepas mengalami kecederaan teruk dipercayai dipukul suami dalam kejadian di rumah mereka, Khamis lalu.
Mangsa yang merupakan kakitangan sebuah hospital turut cedera dan lebam pada badan, muka dan kaki didakwa akibat dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, besi langsir dan penyapu selain barangan kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 turut dilarikan. – UTUSAN








