KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berpuas hati dengan prestasi dan khidmat yang ditawarkan oleh wakil-wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas memenang kerusi masing-masing semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, penilaian prestasi ADUN oleh Dewan Ulama Pas Kelantan sebenar sesuatu yang baik sekali gus membuka kepada ruang penambahbaikan dalam memberikan prestasi lebih mantap.
“Dari pihak kerajaan negeri, kita berterima kasih kepada Dewan Ulama Pas Negeri Kelantan yang telah membuat penilaian ini kerana itulah tugas mereka. Kalau ada yang patut ditegur, maka tegurlah.
“Kepada wakil-wakil rakyat, terimalah penilaian ini sebagai satu teguran dan dalam masa yang sama, boleh memperbaiki mutu kerja serta khidmat masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Ahmad’s dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Development di Tunjong, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, mutu perkhidmatan dan keberadaan serta hubungan dengan rakyat menjadi penanda aras kepada penilaian prestasi mereka.
Katanya, ADUN-ADUN juga perlu tahu bahawa sungguhpun mereka mewakili parti politik masing-masing tetapi mereka tetap berkhidmat kepada kerajaan negeri dan sememangnya ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu diikuti.
“Di pihak parti, iaitu Pas ada KPI dan kerajaan negeri juga ada KPI. Kita sentiasa turun mengawasi, menilai, memberi teguran dan akan memperbaiki setiap prestasi serta mutu khidmat ADUN.
“Ada penilaian peringkat penggal dan ada juga tahunan. Ia akan menjadi satu pemarkahan bagi menilai kelayakan mereka (ADUN) sebagai calon pilihan raya dan sebagainya,” ujarnya.
Adun Temangan itu berkata, dalam Pas, kelayakan seseorang untuk menjadi calon pilihan raya akan melalui banyak pertimbangan termasuk mutu khidmat mereka kepada masyarakat.
Pada 5 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail mengakui ada wakil rakyat parti itu memberi khidmat kurang bermutu, namun enggan mendedahkan secara terperinci mengenainya.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, kelemahan yang ada direkodkan serta terus diperbaiki dan Dewan Ulama Pas Negeri yang merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Harian Pas Kelantan bertanggungjawab menstabilkan senarai calon bagi memenuhi keperluan parti dan pentadbiran kerajaan negeri.-UTUSAN










