ARAU: Kejayaan seorang anak nelayan, Nur Diana Zahirah Yusni, 18, memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuktikan kesempitan hidup dan latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk meraih kecemerlangan dalam pendidikan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kejayaan itu amat membanggakan dan menangkis stigma bahawa anak nelayan berdepan kekangan hingga tercicir dalam pelajaran.
“Dia telah membuktikan bahawa kesempitan hidup dan latar belakang keluarga bukan menjadi penghalang buatnya untuk cemerlang dalam pendidikan,” katanya selepas turun menyantuni Nur Diyana dan keluarganya di Kampung Sanglang, di sini, hari ini.
Menerusi lawatan itu, Muhammad Faiz berkesempatan menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 dari LKIM bersama bantuan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sebanyak RM500, bakul makanan dan bantuan tambahan sebanyak RM500 daripada Persatuan Nelayan Negeri (PELARIS).
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan mengenai kejayaan Nur Dian yang merupakan anak seorang nelayan meraih 9A dalam peperiksaan SPM 2025 baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Nur Diana menjadi pelajar pertama dalam sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang terletak di pinggir bandar mendapat keputusan semua A.
Muhammad Faiz berkata, beliau juga turun padang bagi memberi bantuan tersebut berikutan tidak mahu insiden seperti di Besut, Terengganu, dua tahun lalu berulang, di mana anak nelayan cemerlang dan mendapat tawaran universiti hampir tercicir kerana bapanya tidak mampu membayar yuran.
“Dalam kes Nur Diana, semakan mendapati bapanya didapati tidak berdaftar sebagai ahli persatuan nelayan kawasan.
“Oleh itu, kedatangan saya hari ini bukan sekadar untuk menyampaikan sumbangan yuran pengajian, tetapi juga mahu menyeru bapanya dan semua nelayan di luar sana agar segera mendaftar sebagai ahli persatuan,” katanya.-UTUSAN










