PETALING JAYA: Belum sampai sebulan penyanyi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengikat tali pertunangan, timbul pula desas-desus dalam kalangan peminat bahawa pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada Jun ini.
Meskipun kedua-duanya tidak pernah mendedahkan tarikh rasmi kepada umum, beberapa komen di media sosial seakan-akan memberi bayangan bahawa 26 Jun menjadi pilihan mereka sebagai hari bersejarah.
Tarikh tersebut yang jatuh pada hari Jumaat turut dianggap signifikan kerana sering dikaitkan sebagai penghulu segala hari atau Sayyidul Ayyam, sekali gus dilihat sesuai untuk memulakan kehidupan baharu.
Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang berpendapat pasangan itu mungkin memilih 20 Jun 2026, iaitu hari Sabtu, bagi memudahkan kehadiran tetamu.
Spekulasi semakin hangat apabila segelintir peminat mendakwa terdengar perbualan individu terlibat dalam penganjuran majlis bahawa Bella telah melantik jurusolek serta katering bagi beberapa acara persandingan.
Namun begitu, sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat sama ada oleh Bella mahupun Syed Saddiq berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, Syed Saddiq telah bertunang dengan Bella, 32, dalam sebuah majlis eksklusif pada 28 Mac lalu.
Majlis berkenaan menyaksikan pihak lelaki membawa lima dulang hantaran bertemakan “masa depan”, manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran bertemakan Gunung Kinabalu sebagai simbolik lamaran tersebut. — UTUSAN










