KANGAR: Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak boleh terus berteka-teki dalam menyatakan pendirian berkaitan hala tuju politiknya ketika ini.
Perkara itu jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan pengaruh bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semakin hilang.
Ia sekali gus bakal memberi ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kembali membina kekuatan dalam Bersatu dan menarik semula sokongan mereka yang bersama Hamzah sebelum ini.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, Hamzah perlu cepat membuat keputusan, jika tidak ia akan memberi ruang kepada musuh politiknya kembali membina kekuatan.
Katanya, kombinasi antara Muhyiddin dan Azmin tidak boleh dipandang ringan memandangkan kedua pemimpin itu mempunyai gerakan politik yang cukup hebat.
“Kena buat keputusan cepat untuk menyertai mana-mana parti bagi memastikan semangat mereka yang menyokong Hamzah sebelum ini tidak semakin hilang.
“Dalam mana-mana perang jika dibiarkan berlarutan menyebabkan pihak musuh kembali membina kekuatan.
“Kena umum segera pendirian atau hala tuju politik ketika momentum dan pengaruhnya masih kuat ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hamzah yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu terus mencetus tanda-tanya mengenai status ‘rumah baharu’ atau parti politik yang akan disertainya.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Hamzah tidak menolak kemungkinan untuk beliau bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokong agenda ‘Reset’ bergabung dengan sebuah parti besar sedia ada dalam Perikatan Nasional sebagai wadah politik.
Tanpa mendedahkan parti mana yang dimaksudkan, Ahli Parlimen Larut itu berkata, cadangan menubuhkan parti politik baharu bukanlah jalan terbaik dalam landskap semasa.
Sementara itu, Hashim melihat Pas menjadi parti sesuai untuk disertai Hamzah berdasarkan hubungan baik dengan kepemimpinan parti itu.-UTUSAN.










