Dua beradik tercicir teringin ke sekolah

Dua beradik tercicir teringin ke sekolah

SITI Nur Jamilah Jamaludin di samping anak-anaknya ketika ditemui di Taman Naka Jaya, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kesukaran hidup dialami sebuah keluarga memaksa dua beradik dari Naka, di sini tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah meskipun kini sudah berusia lapan dan sembilan tahun.

Muhamad Rizhan Rizqi dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan sepatutnya berada di darjah dua dan tiga tahun ini namun disebabkan masalah dihadapi ibu mereka, Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, dua beradik itu kini hanya menghabiskan masa di rumah.

Siti Nur Jamilah berkata, dia berdepan banyak cabaran sejak kematian ibunya yang menjadi tulang belakang selama ini setelah pasangan hidupnya menghilangkan diri sejak beberapa tahun lalu.

“Bukan saya tidak mahu sekolahkan anak-anak tetapi tidak tahu hendak cakap macam mana, saya tidak pernah bercerita kisah hidup saya kepada orang tapi kali ini kalau ada yang membantu saya bersedia hantar mereka ke sekolah.

“Saya mahu beri pendidikan kepada anak kerana kadang-kala rasa kasihan tengok mereka hanya bermain tapi tidak ke sekolah macam rakan seusia mereka,” katanya kepada pemberita di Taman Naka Jaya, semalam.

Ujar Siti Nur Jamilah, walaupun anak-anaknya tidak pernah menerima pelajaran secara formal sejak lahir, dia cuba mengajar anak-anaknya setakat termampu.

“Iki (Muhamad Rizhan Rizqi) boleh mengira nombor, abjad ABC pun dia boleh baca sampai habis cuma dia tak berapa kenal huruf selain turut boleh baca alif ba ta dan kalau tanya dia memang mahu ke sekolah.

“Adiknya pula kurang mahir macam abang dan nampak rasa gugup bila sebut tentang sekolah tapi saya rasa kalau abang dia ke sekolah mungkin dia pun akan ikut sama,” katanya.

Tambahnya, dia sebelum ini pernah berniaga makanan di Pekan Naka, namun setelah Covid-19 melanda perniagaan itu terpaksa ditutup dan peralatan gerai turut dijual demi kelangsungan hidup.

Katanya, dia sukar untuk melakukan pekerjaan lain kerana seorang lagi anaknya, Nur Rifqa Hanania, 5, tidak mahu berenggang dengannya berbanding Muhamad Rizhan Rizqi dan Muhamad Raiqal Rayyan.

“Buat masa ini saya hanya tampung hidup dengan bantu rakan berniaga, kalau pergi kerja dapat lah gaji harian untuk beli barang dapur dan lain-lain keperluan kepada anak, selain itu ada juga pihak beri makanan kepada kami terutama jiran-jiran.

“Malah, bekalan elektrik di rumah pun sudah lama terputus dan kami hanya bertemankan lilin pada waktu malam, manakala telefon dicaj menggunakan power bank yang terlebih dahulu dicaj di tempat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN