PETALING JAYA: Industri durian negara yang merekodkan nilai eksport kira-kira RM1 bilion setahun ke China berdepan risiko terjejas dari segi pengeluaran dan kualiti buah berikutan cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Jun.
Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norsida Man berkata, keadaan itu boleh menyebabkan jumlah eksport menurun serta menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar durian premium di pasaran antarabangsa.
Katanya, cuaca panas yang berpanjangan boleh menyebabkan bekalan durian untuk pasaran eksport menjadi terhad selain menjejaskan keupayaan buah tempatan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh negara pengimport.
“Cuaca panas berpotensi memberi kesan besar kepada eksport durian segar Malaysia ke China. China merupakan pasaran utama durian Malaysia dan mempunyai permintaan yang sangat tinggi terhadap buah ini.
Namun begitu, pasaran tersebut turut menetapkan piawaian yang ketat dari segi kualiti, saiz dan rasa buah
“Sekiranya cuaca panas menyebabkan pengeluaran menurun, bekalan durian untuk eksport akan menjadi terhad. Pada masa sama, penurunan kualiti buah seperti isi yang kering, kurang manis dan saiz yang kecil boleh menyebabkan durian Malaysia tidak memenuhi standard eksport.
“Hal ini boleh mengakibatkan pengurangan jumlah eksport atau penolakan produk oleh pengimport di China. Ia secara tidak langsung berpotensi menjejaskan reputasi Malaysia sebagai pengeluar durian premium sekiranya kualiti buah tidak konsisten,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga Jun dijangka mengurangkan kuantiti dan penururan kualiti terutama daripada segi isi dan rasa buah durian.
Situasi itu sekali gus menjejaskan industri buah durian terutama untuk eksport buah durian segar ke China.
Mengulas lanjut, Norsida berkata, cuaca panas yang berterusan turut memberi kesan terhadap proses fisiologi pokok durian sehingga menjejaskan pengeluaran buah di kebun.
Katanya, keadaan suhu tinggi serta kekurangan hujan boleh mengganggu proses pembungaan dan pembentukan buah sekali gus menyebabkan hasil yang dapat dituai berkurangan.
“Apabila suhu meningkat dan hujan berkurangan, proses fisiologi pokok akan terganggu.
“Dari segi pengeluaran, cuaca panas boleh menyebabkan kegagalan dalam proses pembungaan. Bunga durian mungkin gugur sebelum sempat disenyawakan, manakala putik buah pula akan mengering dan mudah gugur akibat tekanan haba serta kekurangan air.
“Sebagai contoh, ada kes di Pahang di mana pekebun mengalami penurunan hasil sehingga 30 hingga 50 peratus akibat cuaca ekstrem. Selain itu, musim pengeluaran juga menjadi tidak menentu, menyebabkan bekalan durian tidak konsisten,” katanya.
Menurut beliau, pekebun perlu peka terhadap keadaan cuaca dan memastikan keperluan air pokok durian dipenuhi bagi mengekalkan kualiti buah yang dihasilkan.
“Sistem pengairan yang cekap boleh mengatasi masalah kekurangan air ketika musim panas yang ekstrem dan mampu memenuhi keperluan pokok di ladang mereka,” katanya. – UTUSAN










