PASIR MAS: Bekas penyerang bola sepak Kelantan FA era 90-an dan tahun 2000 bersama rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melarikan seorang pemilik kedai emas dalam kejadian di Kampung Palekbang, Tumpat, tahun lalu.
Tertuduh, Che Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa melarikan Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah.
Perbuatan itu dilakukan tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat kira-kira pukul 7.20 pagi pada 20 Mei 2025.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan dan Peguam, Heather Marie Anthony mewakili Cik Hisammudin manakala Saufi tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh memandangkan mereka terlibat dalam kes yang serius.
Heather Marie dalam rayuannya memohon ikat jamin yang minimum diberikan kepada Che Hisammudin.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh selain menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Che Hisammudin membayar ikat jamin itu manakala rakannya tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemilik kedai emas ditinggalkan di kawasan bandar Tumpat selepas diculik selama hampir lima jam oleh sekumpulan empat individu menggunakan sebuah kereta dari Palekbang di sini pada 20 Mei tahun lalu.-UTUSAN










