KUALA PILAH: “Ini bukan sahaja hadiah untuk saya, tetapi untuk keluarga kami.”
Itu luahan ibu tunggal yang juga seorang tukang jahit, K. Kanniamah, 43, selepas anak perempuannya memperoleh keputusan cemerlang 7A dan 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Anaknya itu, M. Leelasri, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hua, Kuala Pilah, merupakan individu pertama dalam keluarga mereka yang berjaya meraih keputusan cemerlang sebegitu.
Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna selepas lebih 10 tahun dia membesarkan tiga anaknya sendirian selepas kematian suami, mendiang M. Murugesian, 53, pada 2012 akibat serangan jantung.
“Sudah 14 tahun suami saya meninggal dunia. Masa itu semua anak masih kecil dan saya hanya suri rumah.
“Selepas dia pergi, saya terpaksa keluar bekerja demi menyara keluarga,” katanya ditemui di rumahnya di Johol, di sini, semalam.
Kanniamah berkata, dia memulakan kehidupan baharu dengan membantu bapanya menoreh getah selain melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjahit secara kecil-kecilan dan mengambil upah sebagai pencuci di sebuah klinik di Bahau.
“Pendapatan saya kurang RM1,000 sebulan, tetapi apa sahaja anak minta terutama buku untuk belajar, saya akan usahakan. Leelasri memang suka buku sejak kecil, pergi mana-mana pun dia akan bawa buku,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran terhadap anaknya untuk memperoleh jumlah A, sebaliknya sentiasa memberi sokongan mengikut minat dan keperluan anak-anak.
Sementara itu, Leelasri berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang tersebut, dan bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil.
Katanya, kunci kejayaannya adalah disiplin dan konsisten dalam pelajaran dengan mengikuti jadual sendiri di rumah selain tidak mudah berputus asa walaupun berdepan cabaran dalam subjek seperti Bahasa Cina.
“Saya nampak kesusahan ibu membesarkan kami. Dulu semasa tadika, saya dapat nombor dua dan saya tidak puas hati.
“Ayah cakap dia tahu saya boleh capai sesuatu yang lebih besar suatu hari nanti, dan itulah kata-kata yang saya pegang sampai sekarang,” katanya.
Leelasri berkata, dia bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi merealisasikan impiannya menjadi akauntan bertauliah.-UTUSAN.










