TAIPING: “Setiap kali anak meraung beritahu badannya sakit, hati saya menjadi sebak dan hiba.”
Demikian luahan Abdul Ghafar Masran, 50, bapa kepada Nur Kaisah Zahra, 9, yang melecur kira-kira 40 peratus selepas disambar api percikan petrol ketika bermain berhampiran rumah jiran di Parit Haji Taib 2 di sini pada 15 Mac lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian dada hingga ke bawah badan termasuk kedua-dua kaki.
Menurut Abdul Ghafar, pembedahan pertama telah dijalankan dengan kos RM18,000 yang diperoleh melalui pinjaman pelbagai pihak, namun anaknya masih memerlukan rawatan susulan.
“Doktor memaklumkan keadaan anak saya agak serius. Pembedahan kedua dijadualkan minggu ini dengan kos sama dan selepas itu perlu melalui beberapa lagi peringkat rawatan,” katanya ditemui di Hospital Taiping semalam.
Abdul Ghafar dan isterinya, Nurol Fazilah Abdul Basir, 35, seorang operator kilang, kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga anak mereka secara bergilir.
Katanya, dia juga telah memohon bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi menampung kos rawatan susulan.
Sementara itu, Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi Ibrahim berkata, pihaknya telah menziarah mangsa di Hospital Taiping bagi menilai keadaan serta keperluan keluarga berkenaan.
“Bantuan awal sebanyak RM1,000 telah disalurkan dan permohonan bantuan perubatan bagi pembedahan susulan dianggarkan RM18,000 sedang diproses segera,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang individu, Ahmad Fauzi Sa’arani, 56, turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,500 bagi membantu kos rawatan mangsa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank 29051055050 atas nama Abdul Ghafar Masran. – UTUSAN









