Rumah terbengkalai jadi ‘transit’ seludup minyak, gula

Rumah terbengkalai jadi ‘transit’ seludup minyak, gula

ANGGOTA penguat kuasa KPDN Kelantan memeriksa barangan kawalan yang dirampas dalam serbuan di Kampung Bunuhan, Tumpat, Kelantan semalam.-IHSAN KPDN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Taktik licik sindiket menjadikan sebuah rumah terbengkalai di Kampung Bunuhan di sini sebagai lokasi transit penyimpanan barang kawalan bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa semalam.

Serbuan pukul 5.30 petang oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor membawa kepada rampasan lebih tiga tan minyak masak dan gula.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, dalam serbuan itu anggota penguat kuasa berjaya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung rampasan barang kawalan tersebut.

“Bagaimanapun, tiga lagi rakan lelaki itu melarikan diri ke kawasan sawah dan semak berhampiran selepas lokasi tersebut diserbu.

“Pemeriksaan lanjut di premis dan tiga kenderaan yang terdapat di lokasi telah menemukan 2,176 kilogram minyak masak bersubsidi serta 888 kilogram gula pasir kasar yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga kenderaan dianggarkan berjumlah RM32,970.80.

Katanya, kes disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita meneruskan siasatan bagi mengesan rangkaian sindiket serta punca bekalan barangan berkenaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN