PETALING JAYA: Pelantikan barisan baharu Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) merupakan langkah strategik bagi memperkukuh gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan berkata, pelantikan tersebut turut mencerminkan kepemimpinan yang lebih inklusif serta mewakili semua parti komponen dan kaum.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, rombakan itu turut menyaksikan penambahan seorang lagi wakil MIPP, Datuk K. Sivakumar sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN.
Katanya, pelantikan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pimpinan MIPP dalam kepemimpinan PN kini seramai empat orang.
“Pelantikan ini membawa makna besar kerana ia membuktikan bahawa MIPP khususnya masyarakat India, turut diberikan tempat serta peranan penting dalam barisan kepemimpinan Perikatan Nasional.
“Saya yakin semua pemimpin yang baharu dilantik ini dapat diterima semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PN melakukan rombakan struktur MT termasuk melantik Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN.
Selain itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.
Dua lagi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.-UTUSAN.










