Raja Muda Perlis raikan kanak-kanak sindrom down Perlis - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis raikan kanak-kanak sindrom down Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis Memasak Bubur Lambuk Lambaian Kasih Ramadan Seribu Senyuman di Masjid Al Mubarak, Kampung Tasoh, Jalan Kaki Bukit, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seramai 25 kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Perlis mengambil bahagian dalam Majlis Memasak Bubur Lambuk Lambaian Kasih Ramadan Seribu Senyuman di Masjid Al Mubarak, Kampung Tasoh, Jalan Kaki Bukit semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Sindrom Down Perlis dengan kerjasama kariah Masjid Al Mubarak, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Program itu bertujuan memupuk semangat kasih sayang, perpaduan komuniti dan kemahiran memasak dalam kalangan anak-anak istimewa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Keberangkatan tiba duli-duli tuanku disambut oleh Pengerusi Persatuan Sindrom Down Perlis, Wan Solahuddin Wan Chik.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik mengacau bubur lambuk serta beramah mesra bersama anak-anak istimewa dan ahli kariah yang hadir.

Sempena majlis tersebut, baginda selaku Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs berjumlah RM23,100 kepada 33 penerima dari kalangan anak kariah Kampung Tasoh.

Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti dan menekankan kepentingan penyertaan sosial anak-anak istimewa dalam aktiviti masyarakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN