‘Pulau Timbul’ jadi tarikan di musim kemarau - Utusan Malaysia

‘Pulau Timbul’ jadi tarikan di musim kemarau

ABDUL Azhar Abdul Aziz menunjukkan antara cebisan mangkuk lama yang boleh ditemui di Pulau Timbul di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Cuaca panas berpanjangan menyebabkan paras air di empangan Timah Tasoh, di sini, semakin menyusut dan turut memberi kesan kepada pendapatan nelayan di kawasan ini.

Paras air yang semakin berkurangan itu turut menyebabkan kawasan tinggi yang tenggelam sebelum ini mula kelihatan sekali gus menjadi tarikan pelancong luar sehingga turut digelar sebagai ‘Pulau Timbul’.

Sebagai rekod, Pulau Timbul merupakan penempatan penduduk di kawasan tanah tinggi sebelum empangan ini dibangunkan dan pernah muncul secara jelas pada tahun 2019 ekoran cuaca panas.

Timbalan Pengerusi Nelayan Darat kawasan itu, Abdul Azhar Abdul Aziz, 38, berkata, kemunculan pulau itu pada musim kemarau ini sedikit sebanyak menjadi daya penarik pengunjung luar pada musim perayaan ini untuk bergambar dan merakamkan potret bersama insan tersayang.

“Kehadiran pengunjung yang ingin ke melawat pulau ini juga sedikit sebanyak memberi sumber pendapatan tambahan buat kami pengusaha di sini pada musim perayaan ini.

“Orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar di pulau berkenaan yang timbul hanya setahun sekali khususnya pada musim panas berterusan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Abdul Azhar berkata, pengunjung yang melawat Pulau Timbul itu turut tidak melepaskan peluang meninjau barangan peninggalan penduduk setempat yang menetap di kawasan itu sebelum empangan berkenaan dibangunkan.

Katanya, terdapat beberapa barangan dapat ditemui di sana seperti pinggan mangkuk lama, tapak rumah, pelapik tiang dan beberapa lagi.

“Fenomena ini hanya berlaku setahun sekali dan selain dapat bergambar, pengunjung boleh melihat barangan lama peninggalan masyarakat setempat yang timbul selepas empangan ini surut,” katanya.

Azhar berkata, musim kemarau tahun ini bermula agak awal dengan paras air merekodkan penyusutan mendadak sehingga 60 meter berbanding tahun lalu akibat faktor cuaca panas ketara dan pelepasan air untuk kegunaan pertanian.

Katanya, paras air surut ini kemungkinan akan berlanjutan sehingga Ogos depan sebelum musim hujan kembali bermula.

“Sekarang ini baru permulaan fasa pertama. Dalam masa dua bulan lagi, keadaan pastinya akan menjadi semakin teruk,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN