KOTA BHARU: Dua unit dron milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) digunakan bagi memantau kawasan sempadan Kelantan-Thailand susulan paras air Sungai Golok yang semakin cetek akibat musim kemarau.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempadan sekali gus membendung aktiviti penyeludupan.
“Keadaan Sungai Golok yang cetek boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan melakukan aktiviti penyeludupan.
“Justeru, kita mempertingkatkan kawalan termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan kepada golongan asnaf di Lembah Sireh di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dimaklumkan berhubung perkara tersebut.
Katanya, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh kedua-dua pasukan keselamatan itu bagi memastikan keselamatan sempadan negara ditahap terbaik.
“Setakat ini pihak tidak mengesan sebarang kegiatan penyeludupan secara besar-besaran walaupun paras air sungai berkenaan berada pada tahap rendah,” ujarnya.-UTUSAN










