MARANG: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Suhaimi, 42, (bukan nama sebenar) apabila diberi peluang menjalani baki hukuman di luar penjara melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bekas pemandu lori dari Tepoh, Kuala Nerus dekat sini itu berkata, peluang tersebut sangat bermakna buat dirinya yang pertama kali berdepan hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan dadah.
Bapa kepada tiga anak berusia 10 tahun, 12 tahun dan 17 tahun itu tidak sabar menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas hukuman sepatutnya tamat bulan depan.
“Sepanjang berada di dalam penjara, saya banyak mendalami agama dan memperbaiki diri.
“Saya bersyukur diberi peluang kedua ini untuk kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ditemui pada program PBSL Madani: Yakin Kepulangan Yang Dinanti di Penjara Marang, di sini.
Suhaimi turut meluahkan rasa terharu apabila isterinya, Salina, 42, (bukan nama sebenar) setia menunggu kepulangannya dan hadir menjemputnya di penjara.
Salina berkata, dia bersyukur menerima berita pembebasan suaminya selepas dimaklumkan pihak penjara yang hadir ke rumah mereka sebulan lalu bagi mendapatkan maklumat.
“Semalam saya terima panggilan mengatakan suami saya layak dilepaskan lebih awal. Saya memang tunggu berita ini setiap hari. Syukur sangat,” katanya.
Bagi Khairul, 36, (bukan nama sebenar) dari Dungun, dekat sini pula, peluang sama memberi sinar baharu dalam hidupnya selepas menjalani hukuman tiga bulan atas kesalahan menceroboh.
Katanya, tidak semua banduan berpeluang menikmati pembebasan awal dan dia bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.
Menurut Khairul, hukuman penjara yang dikenakan memberi pengajaran sangat berguna kepadanya untuk berubah menjadi insan dan warganegara yang berguna.
“Saya benar-benar hargai peluang ini. Saya sudah serik dan mahu mulakan hidup baharu bersama keluarga. Saya juga sudah mendapat pekerjaan di sebuah restoran,” katanya.
Timbalan Pengarah Penjara Marang, Fandika Safruddin berkata, program PBSL adalah inisiatif di bawah Jabatan Penjara Malaysia yang membolehkan prospek menjalani baki hukuman di luar penjara sama ada bersama keluarga atau majikan.
Menurutnya, seramai 79 prospek dilepaskan dalam program kali ini dengan 17 daripadanya diserahkan kepada keluarga manakala 62 lagi kepada majikan.
“Program ini dilaksanakan setiap tahun terutama menjelang musim perayaan bagi memberi peluang kepada prospek menjalani pemulihan di luar tembok penjara. Kita berharap mereka dapat menyesuaikan diri, kembali kepada masyarakat dan memulakan kehidupan baharu dengan bekerja,” katanya.
Katanya, kebanyakan prospek yang dipilih melibatkan kesalahan ringan termasuk kes dadah dan tempoh hukuman singkat.
“Harapan kita agar mereka dapat pulih sepenuhnya dan tidak kembali melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN










