KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Suip menasihati golongan pempengaruh yang berhasrat menghasilkan lagu raya agar mendapatkan pasukan yang tepat bagi memastikan karya diterbitkan berkualiti dan bersesuaian dengan khalayak.
Menurut Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, setiap idea perlu melalui proses saringan dan kajian terperinci supaya mesej yang ingin disampaikan tidak tersasar daripada semangat perayaan.
“Sebenarnya tidak salah untuk pempengaruh mencuba bidang nyanyian. Namun, mereka tetap perlu mengikut proses dan bukan bertindak sesuka hati, lebih-lebih lagi dengan peningkatan trend penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Orang lama dalam industri boleh menilai keikhlasan sesebuah lagu. Lebih baik ikut garis panduan yang betul dan berbincang dengan pasukan. Apa yang kita rasa baik, belum tentu orang lain merasakan perkara yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran lagu terbaharunya, Yang Engkau Mahukan, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hafiz menegaskan sikap tergesa-gesa dalam menghasilkan karya tanpa kajian menyeluruh boleh memberi kesan jangka panjang terhadap industri muzik tempatan.
“Masalah sekarang, ada yang terlalu yakin tanpa membuat kajian mendalam. Mereka mungkin belum nampak kesan jangka panjang terhadap industri kerana proses itu tidak diikuti dengan teliti,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pempengaruh menerima kecaman hebat apabila karya seni kulit (cover art) lagu raya nyanyiannya didakwa menyerupai lukisan terkenal, The Last Supper, yang dianggap tidak sesuai dengan semangat Aidilfitri.
Pempengaruh berkenaan bagaimanapun telah menurunkan video muzik tersebut. – UTUSAN










