SEREMBAN: Malaysia akan menghantar nota diplomatik bagi menolak kenyataan seorang senator Filipina yang membangkitkan tuntutan terhadap Sabah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang baharu malah telah berulang kali berlaku sebelum ini.
Menurutnya, setiap kali timbul isu dalam negara berkenaan, akan ada pihak yang cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan perkara tersebut.
“Ini bukan perkara baharu. Setiap kali timbul isu dalam negara mereka (Filipina), akan ada pihak cuba mengalihkan perhatian dengan membangkitkan perkara seperti ini.
“Jadi, kita (Wisma Putra) akan menghantar nota diplomatik seperti biasa bagi menolak apa yang dinyatakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar Negeri di Rantau di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang senator Filipina, Robin Padilla menggesa kerajaan negara itu menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah dengan alasan krisis tenaga yang semakin meruncing.
Beliau menerusi kenyataan meminta Presiden, Ferdinand Marcos Jr. agar mengambil langkah tegas berhubung isu berkenaan, termasuk menghantar wakil rasmi bagi memperkukuh tuntutan tersebut.
Sementara itu, Mohamad berkata, tindakan berkenaan hanyalah usaha bagi mengalih perhatian rakyat Filipina daripada isu dalaman yang sedang dihadapi negara itu.
“Saya rasa rakyat Filipina sendiri pun sudah faham, cuma ahli-ahli politik sahaja yang kadang-kadang hendak mencari isu-isu yang boleh mengalihkan pandangan ataupun perhatian rakyat dalam negara mereka.
“Kita juga seperti biasa akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah ini adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan rakyat Sabah sudah memilih melalui Suruhanjaya Cobbold,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kenyataan oleh senator negara itu tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara kerana ia bukan pendirian rasmi kerajaan negara tersebut.
“Kerajaan Filipina pun tidak boleh buat apa, kerana senator mereka macam pembangkang kita di sini yang bercakap.
“Saya yakin ini setelah banyak percakapan banyak tuntutan dibuat, dia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambah pula Filipina kini merupakan Pengerusi ASEAN,” katanya.-UTUSAN.










