Lelaki Myanmar suspek kelar wanita di Nilai ditahan

Lelaki Myanmar suspek kelar wanita di Nilai ditahan

equador
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita warga asing yang ditemukan mati dengan kesan kelaran di leher di sebuah asrama pekerja di Nilai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas sepasukan polis kira-kira pukul 12.55 tengah malam tadi di Saujana Puchong, Puchong, Selangor.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 1 Mac lalu berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat asrama berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian dengan mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada hutang berjumlah RM10,000.

“Mangsa didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar suspek bersama teman wanitanya di media sosial sekiranya gagal membayar RM5,500 pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, suspek turut menunjukkan lokasi dia membuang senjata yang digunakan dalam kejadian serta barangan milik mangsa.

Beliau berkata, suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi permohonan reman.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan maut dengan kesan kelaran berulang kali di leher di tangga tingkat empat asrama pekerja asing berkenaan. Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN