PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan penilaian menyeluruh bersama agensi berkaitan dan pemain industri bagi merangka mekanisme mitigasi berkesan susulan kenaikan kos pembinaan akibat ketidaktentuan geopolitik global.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu merangkumi penelitian terhadap aspek pelaksanaan projek, struktur kos serta daya tahan rantaian bekalan sektor pembinaan yang kini berdepan tekanan berikutan peningkatan harga bahan api dan kos logistik.
“Kerajaan memandang serius implikasi kenaikan kos ini susulan perkembangan di Asia Barat, termasuk penutupan Selat Hormuz yang memberi kesan langsung kepada kestabilan rantaian bekalan tenaga global.
“Sektor pembinaan amat bergantung kepada harga bahan api seperti petrol dan diesel serta bahan binaan yang berkait rapat dengan pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alexander, pendekatan yang diambil perlu bersifat strategik, bersasar serta berasaskan data bagi memastikan impaknya dapat diminimumkan memandangkan punca tekanan kos berpunca daripada faktor geopolitik di luar kawalan domestik
Katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memperkukuh peranan sebagai penyelaras industri dengan menggerakkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dan pemain industri.
“Usaha ini bertujuan merangka cadangan dasar serta langkah intervensi yang pragmatik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelangsungan sektor tersebut.
“Kerajaan komited memastikan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan negara serta mengekalkan kestabilan sektor pembinaan melalui dasar yang responsif, adaptif dan berorientasikan kelestarian jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










