PETALING JAYA: Pesawah berdepan kenaikan kos 40 peratus susulan kenaikan harga diesel semasa yang meningkatkan kos operasi serta keadaan cuaca panas yang berpotensi menjejaskan kelangsungan industri padi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, peningkatan harga bahan api memberi kesan besar terutama kepada penggunaan pam air, jentera menuai dan kerja-kerja penyelenggaraan sawah yang bergantung sepenuhnya kepada diesel.
Menurutnya, beliau menerima maklumat bahawa untuk musim penuaian akan datang harga terpaksa ditetapkan pada RM150 dari RM120 per relung atau RM450 untuk satu hektar.
“Ini peningkatan yang sangat di luar kemampuan pesawah dan sekarang kami hadapi dua keadaan iaitu kenaikan harga diesel serta cuaca panas.
“Petani perlukan modal untuk operasinya, sudah ada petani-petani yang mula menarik handbrake atau berhenti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada sektor padi sama seperti industri makanan lain.
“Jika lihat pada nelayan, kerajaan boleh mengadakan fleet card dan pekebun-pekebun sayur pun mempunyai inisiatif serta tindakan yang cepat dari kerajaan. Perladangan seperti sawit pun satu geran atau dana yang besar.
“Dalam industri padi, tindakan dari kerajaan adalah lambat dan kami tidak diberikan fleet card atau kelebihan khusus. Dalam inisiatif yang diberikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pun tidak khusus kepada padi, cuma sebut pertanian sahaja,” katanya.
Beliau berkata, insentif-insentif yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan khusus untuk pesawah juga lambat untuk sampai hingga pesawah terpaksa mengeluarkan modal sendiri.
“Penambahan pajakan RM60 iaitu dari RM100 ke RM160 tetapi selepas tiga musim baru diberikan, bermaksud kami tiga musim sebelum ini terpaksa mengeluarkan modal sendiri.Kemudian penuaian sebanyak RM50 perhektar pun belum sampai ke tangan petani, sudah masuk empat musim.
“Jadi kami rasa agak kesal walaupun kami ini boleh dikatakan penyumbang utama makanan atau beras untuk negara tetapi kami masih tidak dapat apa yang sepatutnya,” katanya.
Tambahnya, apabila petani berhadapan dengan masalah seperti ini maka ia akan menjejaskan industri hingga menyebabkan padi tidak dapat dituai dan pengilang tidak dapat mendapatkan bekalan.
“Akhir sekali kami bimbang kesan jika terus bergantung kepada beras import, ini kerana perubahan cuaca bukan dihadapi oleh negara kita sahaja tetapi turut dihadapi oleh banyak negara pembekal utama beras seperti India,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pesawah dari Perak, Mohd. Hafizuddin, 30, berkata, peningkatan harga bahan api memberi kesan besar terutama kepada penggunaan pam air, jentera menuai dan kerja-kerja penyelenggaraan sawah yang bergantung sepenuhnya kepada diesel.
Katanya, setiap musim penanaman memerlukan perbelanjaan lebih tinggi berbanding sebelum ini, sekali gus mengurangkan margin keuntungan yang sedia kecil.
“Sekarang hampir semua kerja di sawah guna mesin. Bila diesel naik, kos pam air untuk saliran, mesin menuai dan pengangkutan hasil turut meningkat,” katanya.-UTUSAN.









