KOTA BHARU: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang sudah berada di peringkat akhir dijangka akan dibentangkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud bagaimanapun berkata, pihaknya mengambil pendekatan menangguhkan pembentangan sebelum ini bagi memberi ruang kepada beberapa penambahbaikan.
Katanya, penelitian terhadap pindaan enakmen itu dilakukan secara menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk Mufti, Jemaah Ulama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), panel penggubal serta pakar perundangan.
“Setelah selesai di peringkat itu, ia akan diangkat semula ke Mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri jika tiada sebarang perubahan.
“Insya-Allah kita sasarkan untuk bentang tahun ini dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang dipinda itu sebenarnya sudah berada di peringkat akhir,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai perkembangan terkini Pindaan Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Terdahulu beliau berbuka puasa hadir ke Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama Media Kelantan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri optimis pindaan enakmen tersebut akan mendapat sokongan semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang apabila dibawa ke DUN kelak.
“Kita melihat dalam isu pindaan ini semua pihak, termasuk pembangkang, tidak terkecuali dan insya-Allah akan memberi sokongan,” katanya.
Utusan Malaysia, 17 Disember lalu melaporkan, penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dijangka akan dibentang tahun hadapan.
Mohd. Asri Mat berkata, proses itu sudah berada pada tahap akhir penilaian selepas melalui beberapa siri perbincangan dan penelitian melibatkan jawatankuasa induk serta jawatankuasa pelaksana.-UTUSAN










