KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan aplikasi platform lelongan awam kenderaan sita dan dilucut hak secara dalam talian yang yang dikenali sebagai JPJvBID bagi memudahkan orang ramai membida dari mana-mana lokasi di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun bermula 10 Mac ini melalui platform Google Play Store, Apple App Store dan Huawei Apps Gallery.
Katanya, pengguna boleh mengakses aplikasi berkenaan menggunakan ID MyJPJ sedia ada atau membuat pendaftaran baharu melalui portal rasmi agensi berkenaan.
“Melalui aplikasi ini (JPJvBID) orang awam tidak lagi perlu hadir ke lokasi kenderaan untuk membuat pemeriksaan fizikal seperti sebelum ini.
“Jika seseorang yang berada di Johor perlu pergi ke Pulau Pinang untuk menyertai lelongan kenderaan di sana, kini semuanya boleh dilakukan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerapan Nila-nilai Murni Peringkat Stesen Penguatkuasa Labok di sini awal pagi tadi.
Aedy Fadly memberitahu, pembida hanya perlu merujuk imej kenderaan serta laporan penarafan yang disediakan dalam aplikasi bagi membantu mereka membuat penilaian sebelum menyertai bidaan.
Katanya, sebagai permulaan, projek rintis akan dilaksanakan di Selangor melibatkan 30 kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta dan kenderaan lupus untuk dilelong melalui platform digital tersebut.
Ujarnya, orang ramai yang berminat boleh mula membeli e-katalog untuk menyertai bidaan bermula 18 hingga 31 Mac ini pada harga RM50 bagi setiap siri lelongan.
“Tempoh bidaan pertama akan berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 April ini, manakala keputusan pembida berjaya akan diumumkan pada 6 April.
“Proses pertukaran hak milik kepada pembida berjaya boleh dilaksanakan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan diumumkan sebelum penyerahan kenderaan dibuat bermula 21 April,” katanya.
Aedy Fadly memberitahu, penggunaan aplikasi ini akan memperkukuhkan integriti pengurusan kenderaan sitaan serta memastikan setiap proses dilaksanakan secara profesional, adil dan bebas daripada unsur ketirisan.-UTUSAN










