JPJ guna dron berkeupayaan tinggi intip pesalah trafik Aidilfitri di Kelantan

JPJ guna dron berkeupayaan tinggi intip pesalah trafik Aidilfitri di Kelantan

AEDY Fadly Ramli (dua kanan) melihat pegawainya mengendalikan dron selepas merasmikan Majlis Penerapan Nila-nilai Murni Peringkat Stesen Penguat Kuasa Labok, Machang, Kelantan awal pagi tadi-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan teknologi dron berkeupayaan tinggi bagi mengesan kesalahan trafik dari udara sempena Ops Hari Raya Aidilfitri yang dijadual bermula pada 13 Mac ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan akan diberikan notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum tindakan diambil.

Katanya, melalui notis panggilan temu siasat itu pesalah trafik perlu hadir ke pejabat dan JPJ akan mengemukakan bukti kesalahan yang dilakukan melalui pengesanan dron itu.

“Dron yang digunakan mempunyai spesifikasi tinggi termasuk keupayaan zum sehingga 200 kali bagi membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas walaupun dari jarak jauh.

“Setiap rakaman video dan imej kesalahan akan disimpan untuk dijadikan sebagai bukti bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerapan Nila-nilai Murni Peringkat Stesen Penguat Kuasa Labok di sini awal pagi tadi.

Hadir sama Pengarah Kanan Penguat Kuasa Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ negeri Mohd. Misuari Abdullah.

Aedy Fadly memberitahu, pemantauan melalui dron udara ini sangat berkesan untuk melihat kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.

Katanya, Kelantan menjadi negeri pertama menggunakan kemudahan dron berkeupayaan tinggi itu,

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, JPJ akan memperluaskan penggunaan dron ke seluruh negara sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, setakat ini JPJ kini mempunyai lima dron yang akan digunakan bagi tujuan pemantauan semasa musim perayaan itu nanti.

“Semua anggota yang mengendalikan dron ini juga telah dilatih dan diwajibkan memiliki lesen sah sebelum dibenarkan mengoperasikan peralatan tersebut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN