Jenazah anak editor kanan Astro Awani dikebumikan hari ini

Jenazah anak editor kanan Astro Awani dikebumikan hari ini

Mursyid Azmi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Jenazah anak kepada editor kanan Astro Awani yang maut dalam kemalangan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli di sini akan dikebumikan hari ini.

Jenazah Mursyid Azmi, 25, yang merupakan anak kepada Husna Yusop akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gua Mesa, Rantau Panjang.

Difahamkan, keluarga merancang untuk mengebumikan Mursyid di kampung mereka selepas solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Mursyid yang memandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah berkata, kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah kenderaan Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, pemandu kenderaan JPJ, Muhammad Zahir Zahali, 40, mengalami kecederaan di bahagian dada.

“Dua lagi penumpang di dalam Perodua Myvi iaitu Madihah, 19, dan Mumpaz, 17, turut cedera dan dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Haki berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan JPJ sedang menjalankan rondaan dari arah Bukit Bunga menuju ke Jeli.

“Setibanya di lokasi, kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan kenderaan JPJ sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat impak kuat, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN