PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil empat lagi individu bagi memberi kenyataan berkaitan siasatan komplot untuk menjatuhkan kerajaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, sebelum ini pihaknya telah merakam keterangan seorang individu yang dikaitkan dengan tindakan itu termasuk mahu mensabotaj kestabilan negara.
Kata beliau, individu rakyat tempatan itu telah hadir sukarela bagi memberi kenyataan kepada polis pada 26 Februari lalu.
Katanya, kenyataan itu dirakam pada hari sama laporan dibuat terhadap individu itu susulan dakwaan berkenaan.
“Kami juga telah mendapat beberapa nama individu lain untuk dipanggil memberi kenyataan yang sama.
“Kami akan memanggil tiga atau empat lagi individu untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini semalam.
Kata Mohd Khalid, pihaknya memerlukan masa lebih panjang untuk meneliti kenyataan dibuat individu berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya juga belum pasti sama ada akan memanggil balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid atau tidak untuk memberi keterangan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya boleh mengesahkan semua individu yang telah dikenalpasti dan akan dipanggil kesemuanya adalah warga tempatan.
“Kerajaan memerlukan satu tindakan yang menyeluruh mengenai dakwaan ini dan kami kena kenal pasti isu-isu yang berkaitan.
“Ia bukan sahaja terlibat (dengan pihak) dalam negara tetapi juga di luar negara. Jadi ia memerlukan siasatan yang menyeluruh dan berhati-hati.
“Saya percaya kita perlu bersabar dalam memastikan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa merosakkan apa-apa juga isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan,” katanya.
Jelasnya lagi, perkara ini perlu ditangani dengan teliti bagi mengelak timbul kesangsian dalam kalangan rakyat selain menjamin keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang turut membabitkan kelompok Zionis terkemuka.-UTUSAN.










