Jangan beri ruang pada pembelot negara - Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin - Utusan Malaysia

Jangan beri ruang pada pembelot negara – Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 PGA, Padang Besar semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar jangan diberi sebarang ruang kepada pembelot negara.

Baginda bertitah, tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada anggota pasukan keselamatan, keamanan yang dinikmati hari ini sukar dipertahankan.

Baginda juga mengingatkan para anggota keselamatan bahawa Allah SWT setiap masa melihat dan memantau setiap pergerakan dan perbuatan dilakukan.

“Oleh itu, tingkatkanlah tekad serta semangat juang dan curahkanlah sepenuh jiwa dan raga dengan rasa cinta yang mendalam kepada negara. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa masing-masing,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA), Padang Besar semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim. Hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut memuji langkah bersepadu yang dilaksanakan oleh agensi-agensi keselamatan di negeri ini dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

“Sesungguhnya usaha tersebut menuntut tahap integriti yang tinggi, iltizam berterusan serta kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat,” titah baginda.

Baginda dimaklumkan bahawa pasukan keselamatan akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Dalam masa sama, kerjasama dengan rakan sejawat di negara jiran, khususnya pihak berkuasa di Thailand akan terus diperkasakan bagi memastikan kawalan di kedua-dua sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan rasa bangga kerana masyarakat di kedua-dua belah sempadan termasuk rakyat di Perlis semakin sedar dan peka serta memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang kegiatan mencurigakan.

Titah baginda, perkembangan tersebut mencerminkan kematangan masyarakat yang semakin bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan bagi membantu memelihara keselamatan negara.

“Sesungguhnya, keselamatan negeri dan negara bukanlah tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN