PETALING JAYA: Seramai 4,000 individu termasuk ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara laluan pantas bagi mempercepatkan proses berkenaan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi peluang kedua kepada individu yang berdepan kesulitan kewangan, malah memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara laluan pantas. Justeru itu, bersempena Aidilfitri, sekitar 4,000 individu termasuk ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.
“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan Madani dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan beberapa langkah bagi meringankan beban rakyat susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat, selain persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Antaranya termasuk pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Katanya, diskaun tersebut akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga pukul 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat serta memeriahkan sambutan Aidilfitri di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan tmeluluskan pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.
Katanya lagi, bantuan khas kewangan turut disalurkan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir.
“Pada masa sama, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah Madani dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan kekal berpatutan.
“Kerajaan juga menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar meminta rakyat untuk berbelanja secara berhemah ekoran keadaan dunia masih tidak menentu dan menuntut semua pihak mengurus kewangan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.-UTUSAN











