KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam proses perluasan program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Rintis dalam dengan beberapa penambahbaikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ia merangkumi aspek kebajikan guru melibatkan sistem perjawatan, kebajikan serta pembayaran sekali gus mencapai taraf gaji minimum RM1,700 sebulan.
Katanya, peningkatan kualiti pembelajaran murid turut diberikan keutamaan sesi pembelajaran lima kali seminggu berbanding tiga hari seminggu buat masa ini.
“Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah isu premis memandangkan kebanyakan Kafa ketika ini masih menumpang di fasiliti sedia ada seperti sekolah kebangsaan.
“Jadi, kita perlu penyelarasan antara kementerian terutama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya kepada pemberita selepas sesi tausiah sempena Program Santuni Madani Bersama Guru Kafa, di sini hari ini.
Marhamah memberitahu, penyelarasan itu penting bagi memastikan kebajikan pelajar dan guru Kafa terus terpelihara, khususnya melibatkan jadual aktiviti kokurikulum di sekolah.
Dalam perkembangan lain, Marhamah berkata, pihaknya mengambil maklum keluhan segelintir guru-guru Kafa berkaitan caj perubatan tinggi ketika menerima rawatan.
Bagaimanapun, beliau tidak boleh memberi komen lanjut berkenaan perkara itu yang berada di bawah bidang kuasa Jakim.
“Saya akan bawa cadangan guru-guru Kafa agar satu bentuk bantuan kesihatan disediakan kepada mereka kepada pihak Jakim.
“Bagaimanapun saya difahamkan Jakim sendiri sedang berbincang dengan Perkeso serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan perkara ini,” ujarnya.
Marhamah berkata, beliau difahamkan pihak Jakim juga sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat insurans dalam aspek penjagaan kebajikan seramai 37,000 guru KAFA di seluruh negara.-UTUSAN










