KANGAR: Dalam mengimbau nostalgia Aidilfitri, Sekolah Kebangsaan (SK) Putra mengambil inisiatif memberi pendedahan buat murid-murid menerusi pembuatan kad raya.
Menerusi program tersebut, seramai 230 murid tahap dua sekolah itu mengambil peluang menghasilkan sendiri pembuatan kad raya mengikut kreativiti masing-masing.
Guru penyelaras program itu, Hamisah Hashim, 42, berkata, pihak sekolah mengambil inisiatif tersebut dalam memberi peluang kepada murid-murid merasai nostalgia penghasilan kad raya yang semakin pupus pada masa kini.
Katanya, pihak sekolah mahu mengembalikan suasana menghasilkan kad raya khusus buat murid-murid agar mereka dapat menghidupkan kembali suasana berkenaan yang pernah menjadi tradisi semasa menyambut Aidilfitri.
“Menerusi aktiviti itu, murid-murid diberi masa selama satu jam bagi menghasilkan kad raya secara individu atau berkumpulan dengan menggunakan bahan-bahan mengikut kreativiti masing-masing. Murid-murid juga dilihat menunjukkan keterujaan dan kesungguhan dalam menghasilkan kad raya tersebut.
“Selain murid Melayu, terdapat juga murid India dan bangsa-bangsa lain turut sama dalam program ini bagi menghasilkan kad raya, sekali gus dapat memupuk nilai perpaduan dalam kalangan mereka,” katanya.
Katanya, inisiatif pelaksanaan program itu adalah merupakan anjuran pusat sumber sekolah bersama panitia pendidikan seni dan visual dalam mengembalikan semula suasana penghasilan kad raya buat murid-murid.
“Kalau zaman dahulu ketika menjelangnya raya, mesti ramai yang teruja menantikan ketibaan posmen bagi menghantar kad raya. Disebabkan itu kita mahu murid-murid merasai kemeriahan suasana itu menerusi program ini,” katanya.
Seorang murid tahun lima SK Putra, N. Sentamil, 11, berkata, dia teruja dapat membuat kad raya bersama rakan-rakan walaupun pernah menghasilkan sebelum ini.
“Saya dan rakan-rakan turut menghias kad raya mengikut kreativiti sendiri. Kami menggunakan bahan-bahan yang ada bagi menghias kad ini dan turut menulis ucapan bersempena dengan ketibaan hari raya nanti,” katanya.-UTUSAN









