BEIRUT: Pertempuran tercetus di sempadan Lubnan-Syria pada Sabtu apabila pasukan Israel dilaporkan cuba melancarkan operasi darat, dengan kumpulan Hizbullah mengesahkan penglibatan pejuangnya.
Serbuan terbaharu itu dilaporkan menjadi serangan terdalam yang pernah dicapai oleh Israel di dalam Lubnan sejak pasukan unit khas menahan anggota Hizbullah, Imad Amhaz, dari bandar utara Batroun pada November 2024.
Agensi Berita Nasional (NNA) yang dikendalikan kerajaan melaporkan, pertempuran sedang berlaku di sepanjang gunung timur di sempadan Lubnan-Syria untuk menangkis percubaan pencerobohan darat Israel.
Pertempuran dilaporkan berlaku di lokasi dikenali sebagai Nabi Sheet di daerah Baalbek timur, kawasan yang dikuasai Hizbullah.
Serangan Israel di kawasan itu membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 16 yang lain, lapor NNA memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Hizbullah dalam satu kenyataan berkata, pejuangnya memantau kemasukan empat helikopter tentera Israel dari arah Syria.
Selepas mendarat, tentera Israel berdepan dengan kumpulan Hizbullah ketika tiba di tanah perkuburan Nabi Sheet, menggunakan senjata ringan dan sederhana.
“Pertempuran menjadi lebih sengit selepas tentera musuh kelihatan jelas,” katanya sambil menyatakan pasukan rejim melancarkan serangan hebat sebelum berundur.
Dalam kenyataan berasingan, Hizbullah berkata, anggotanya melepaskan roket semasa pasukan Israel berundur.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan gelombang tembakan di udara.
Menurut NNA, Nabi Sheet menjadi sasaran sekurang-kurangnya 13 serangan udara Israel pada Jumaat, dengan Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sembilan orang terbunuh.- AFP










