Hashim sudah mampu buka mata, bersuara

Hashim sudah mampu buka mata, bersuara

HASHIM Jasin kini dirawat di ICU Hospital Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keadaan kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang mula menunjukkan perkembangan positif apabila beliau sudah mampu membuka mata dan bersuara.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan anak sulungnya, Nabilah yang memaklumkan bahawa bapanya bukan sahaja sudah boleh bersuara malah turut memberi tazkirah dan menyatakan keinginan menikmati beberapa jenis makanan.

“Alhamdulillah syukur, sejak semalam abah sudah buka mata, mula berkata-kata balik, berceramah dan memberi tazkirah. Abah sudah mula minta hendak makan macam-macam seperti buah dan laksa.

“Saya memujuk abah agar bersabar dan berjanji akan membelikan makanan yang diinginkan sebaik sahaja diizinkan doktor merawatnya.

“Sekarang ini, abah hanya minum susu melalui tiub hidung kerana abah belum dibenarkan makan kerana doktor tidak mahu abah tersedak dan air masuk ke dalam paru-paru,” katanya.

Hashim, 87, sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sejak 7 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.

Beliau dipantau di ICU disebabkan keadaan jantung semakin lemah, masalah buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Nabilah memberitahu, meskipun dalam keadaan lemah dengan tubuh dipenuhi pelbagai wayar namun bapanya tetap memikirkan soal ibadah dan jemaah.

“Hari ini abah bicara berkaitan solat dan azan. Malah abah minta supaya fidyah dibayar kerana keadaan yang tidak membolehkannya berpuasa.

“Abah juga beberapa kali berusaha hendak bangun duduk dan minta tolong jururawat. Abah juga kata kepentingan jemaah lebih penting daripada kepentingan dirinya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×