Fasa dua pembangunan semula Hospital Pakar CMH bermula Sept

Fasa dua pembangunan semula Hospital Pakar CMH bermula September

LEE Tian Hock (tengah) bersama-sama individu kenamaan lain memotong reben pada Majlis Pelancaran Blok Baharu Parkir dan Majlis Berbuka Puasa di Hospital Pakar CMH, Seremban, kelmarin. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Fasa kedua projek pembangunan semula Hospital Pakar CMH yang melibatkan pembinaan bangunan perubatan baharu 10 tingkat akan bermula bulan September nanti.

Presiden The Negri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, projek dengan kos lebih RM100 juta itu kelak akan dilengkapi dengan parkir bawah tanah dan 166 buah katil pesakit.

Katanya, Blok A dan Blok C sedia ada dijangka akan dirobohkan antara April hingga Julai ini sebelum pembinaan blok perubatan baharu bermula pada bulan September serta dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2029.

“Projek naik taraf ini akan memperluaskan lagi perkhidmatan hospital pakar termasuk menambah bilangan katil dan klinik pakar dan meningkatkan keupayaan teknologi perubatan.
Ia sekali gus memperkukuh kapasiti keseluruhan hospital demi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Blok Baharu Parkir Enam Tingkat dan Majlis Berbuka Puasa di Hospital Pakar CMH di sini kelmarin.

Menurut Tian Hock, pembinaan blok parkir enam tingkat bernilai RM10 juta yang merupakan fasa pertama dalam projek pembangunan semula hospital itu kini telah pun siap.

Katanya, ia menyediakan sebanyak 310 petak parkir baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan parkir di hospital tersebut kepada 450 petak.

“Blok parkir seluas 18,000 kaki persegi itu dibina bagi menampung peningkatan jumlah pesakit dan pelawat yang menyebabkan kekurangan ruang parkir sebelum ini.

“Dengan siapnya blok parkir ini, sebanyak 310 petak parkir baharu dapat disediakan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan parkir di hospital ini meningkat kepada 450 petak,” katanya.

Untuk tempoh yang agak lama, tambah Tian Hock, disebabkan oleh perkembangan hospital, kekurangan ruang parkir telah menyebabkan kesulitan kepada ramai pesakit dan pelawat.

Katanya, pembangunan baharu ini adalah untuk memastikan para pesakit yang datang mendapatkan rawatan, ahli keluarga mereka dan para pelawat dapat menikmati pengalaman yang lebih selesa serta mesra ketika berkunjung ke hospital ini.

“Pihak hospital juga mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran parkir kepada pesakit dan pelawat,” katanya.

Menurut Tian Hock, menerusi kesemua projek pembangunan baharu tersebut, pihaknya berharap dapat menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada komuniti.

Selain itu, katanya, ia juga dapat memperkukuhkan peranan hospital ini dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mengira kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN