Dua pemandu bas ekspres bersubahat bawa PATI hilangkan diri

Dua pemandu bas ekspres bersubahat bawa PATI hilangkan diri

CHE Ibrahim Che Ismail semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat E-Mutiara di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua pemandu bas ekspres konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara) menghilangkan diri selepas disyaki bersubahat membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan perkhidmatan bas milik syarikat berkenaan.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, kedua-dua pemandu berusia 40-an itu menghilangkan diri selepas surat tunjuk sebab diberikan kepada mereka.

Katanya, perbuatan licik itu dikesan pihak syarikat selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam bas terbabit.

“Kedua-dua individu itu telah dibuang kerja dan mereka dikesan melakukan kesalahan tersebut November tahun lalu. Susulan itu, E-Mutiara terus membuat laporan polis bertujuan melindungi kepentingan syarikat selain mengelakan timbul salah faham berkaitan perkara tersebut.

“Sebelum kejadian itu, sudah ada dua pemandu pernah dipenjara selepas didapati bersalah membawa PATI dan perbuatan itu terbongkar selepas pihak syarikat memeriksa kandungan CCTV yang terdapat di dalam bas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat E-Mutiara di sini hari ini.

Che Ibrahim memberitahu, pemeriksaan mendapati ada pemandu yang mengambil PATI dilaluan tertentu sebagaimana telah dijanjikan bersama dengan ejen.

Katanya, ketiadaan pangkalan data khusus mengenai rekod kesalahan pemandu bas menyebabkan individu yang pernah terlibat dalam kes jenayah masih berpeluang bekerja semula dengan syarikat lain selepas dibebaskan dari penjara.

“Apabila tidak ada pangkalan data atau rekod yang jelas, pemandu yang pernah dipenjara masih boleh memohon kerja di syarikat lain.

“Sebab itu kita berharap pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat mempercepatkan penyediaan pangkalan data pemandu bagi merekodkan kesalahan lampau mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, E-Mutiara sering mengingatkan pemandu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak terlibat dengan perkara yang melanggar undang-undang.

“Setiap kali perjumpaan atau program ‘town hall’, kita sentiasa menasihatkan pemandu supaya tidak terlibat dengan membawa PATI,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN