KANGAR: Muhammad Haikal Muhammad Helmi, 18, dari Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) membuktikan kegagalan sebelum ini bukan penghalang buat dirinya meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pada peperiksaan percubaan sebelum ini, Muhammad Haikal hanya meraih 7A malah turut mendapat G bagi mata pelajaran Matematik.
Namun bertitik tolak dari situ, anak sulung dari dua beradik ini kemudian mula bangkit dan berazam untuk memperbaiki keputusan tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh.
Haikal berkata, dia kebiasaan bangun seawal pukul 4 pagi pada setiap hari dan kemudiannya terus ke kantin untuk menghafal dan mengulang kaji pelajaran secara bersendirian.
“Setiap hari saya memang melakukan rutin tersebut. Alhamdulillah, hasil usaha itu saya berjaya meraih 10A malah turut merekodkan gred A bagi subjek Matematik yang merupakan mata pelajaran yang saya tidak pernah skor sejak dari tingkatan satu lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain bangun pada awal pagi, Haikal berkata, dia turut mengamalkan solat tahajud dan bacaan selawat Nabi bersama zikir-zikir terpilih yang sangat membantu dirinya untuk berjaya.
Katanya, kejayaan itu juga merupakan hasil doa ibunya, Shakirah Saad, 35, dan bapa tirinya, Saharizan Mat Isa, 40.
“Kejayaan ini saya tujukan buat ibu saya memandangkan dia (ibu) sedang berjuang sakit saraf dan tidak dapat berjalan dengan begitu baik,” katanya.
Dia juga bercadang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pengajian Sains Politik selepas ini.
“Saya bercita-cita untuk menjadi duta di luar negara dan disebabkan itu saya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang itu,” katanya.-UTUSAN










