Calon muka baharu bantu usaha BN rampas kembali Perlis

Calon muka baharu bantu usaha BN rampas kembali Perlis

Saiful Fariddil Jasmi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Langkah UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bakal mengetengahkan 85 peratus calon muka baharu, memberi harapan untuk parti itu kembali diberi kepercayaan oleh pengundi sekali gus merampas Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, dalam usaha kembali menawan Perlis, parti itu perlu tampil lebih segar dengan menampilkan calon-calon muka baharu dalam kalangan pemuda, puteri termasuk wanita.

Katanya, calon yang diketengahkan itu sudah pastinya dalam kalangan pemimpin tempatan yang sudah lama bekerja di sesuatu kawasan.

“Apa yang pasti, kami tidak mahu calon luar yang hanya datang ketika pilihan raya. Kami harap pengundi muda khususnya dapat memberi kepercayaan kepada calon-calon muda atau muka baharu yang bakal diketengahkan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini akhbar ini melaporkan, UMNO dan BN bakal tampil lebih segar dalam misi merampas Perlis dengan akan mengetengahkan lebih 85 pe­ratus calon muka baharu dalam mendepani PRU16 di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, calon-calon yang dikenal pasti itu telah diarahkan untuk turun kerja di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Beliau berkata, UMNO di tiga bahagian sudah mengenal pasti cadangan calon-calon yang dirasakan layak diketengahkan dalam PRU16.

Dalam pada itu, Saiful Fariddil berkata, UMNO dan BN mempunyai peluang cerah untuk kembali merampas Perlis dalam PRU16.

“Pada PRU15, BN kalah semua kerusi di Perlis. Rakyat memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) namun malangnya gabungan itu gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik demi ke­sejahteraan rakyat.

“Apa yang kita lihat, mereka asyik berpolitik dan bergaduh sesama sendiri. UMNO pula terus konsisten berkhidmat untuk rakyat meskipun kalah dalam PRU15,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×