KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah memberi jaminan bekalan ayam dan daging dalam negeri ini adalah mencukupi bagi menampung permintaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar Abdul Rashid berkata, berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, pengeluaran tempatan bagi daging ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik.
“Manakala daging ruminan (lembu dan kerbau) adalah sebanyak 3,185 tan metrik.
“Sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat dalam tempoh perayaan, pihak jabatan telah membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal bulan Disember tahun lepas.
“Ini bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zul Bahar turut mengulas berkenaan rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang melibatkan produk berasaskan ruminan dan ayam yang dilakukan pihaknya pada 3 Mac lepas.
“DVS ingin memaklumkan tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 kilogram (kg) produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah.
“Pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di negeri ini sentiasa terjamin,” katanya.-UTUSAN.










