KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes seorang doktor pelatih wanita yang ditemukan mati di bilik asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada Khamis.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, individu itu terdiri daripada ahli keluarga mangsa, rakan sekerja serta pensyarah.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian sebenar yang menimpa wanita berusia 29 tahun itu.
“Kita sudah merakam percakapan 10 individu bagi membantu siasatan secara terperinci.
“Siasatan masih dijalankan secara rapi untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan kepada golongan asnaf di Lembah Sireh di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan tidak berasas berhubung kejadian tersebut kerana boleh mengganggu siasatan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat dan meneliti kes seorang doktor pelatih wanita ditemukan mati di asrama HSIP.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, ia menjurus kepada punca sebenar kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor lain yang menyumbang kepada perkara tersebut.
Sebelum itu, seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan mati di bilik asramanya di HSIP.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik berkenaan.-UTUSAN










