1000 pengunjung bazar Ramadan daftar sebagai Wira Internet Selamat - Utusan Malaysia

1000 pengunjung bazar Ramadan daftar sebagai Wira Internet Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 pengunjung bazar Ramadan di seluruh negara mendaftar sebagai Wira Internet Selamat menerusi Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, pendaftaran tersebut dilakukan selepas pengunjung mengikuti pelbagai pengisian program termasuk sesi penerangan keselamatan Internet, pendedahan ancaman penipuan dalam talian dan langkah pencegahan jenayah siber.

Katanya, program yang berlangsung serentak di 19 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara itu menerima sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia dan peniaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sambutan yang positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital lebih-lebih lagi ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan yang kian rancak sepanjang bulan Ramadan.

“Keadaan ini sekali gus memperkukuh matlamat kempen dalam memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan Internet secara selamat dalam kehidupan seharian.

“Sepanjang penganjuran program tersebut, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan serta mengambil bahan informasi yang disediakan,” katanya.

Menurut MCMC, hampir 10,000 Kit Ramadan yang mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral dan butang lencana turut diedarkan kepada pengunjung bazar di 19 lokasi seluruh negara.

Katanya, kejayaan pelaksanaan program itu turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Justeru itu, MCMC komited dalam memastikan persekitaran digital negara terus selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini