KUALA LUMPUR: Agensi agama dan wakil rakyat digesa untuk melipatgandakan sinergi bagi menangani isu kos sara hidup rakyat melalui terjemahan nilai ‘Ihsan’ dalam bentuk tindakan yang nyata.
Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha menyantuni golongan yang terhimpit dengan tekanan ekonomi tidak seharusnya sekadar menjadi angka dalam laporan, sebaliknya perlu dirasai terus oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, setiap pihak memikul amanah besar untuk memastikan ‘dapur asnaf terus berasap’ dengan meruntuhkan tembok jurang antara pemimpin dan rakyat melalui perkongsian rezeki yang inklusif.
“Ramadan mengajar kita bahawa kekuatan umat bukan diukur pada kemewahan, tetapi pada rasa peduli dan keikhlasan kita memahami penderitaan orang lain.
“Melalui inisiatif seperti Iftar Ramadan Madani (IRAMA), kita mahu nilai Ihsan ini diterjemahkan secara praktikal dengan menyantuni masyarakat dan memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Irama peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak, di sini malam ini.
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Hasan.
Mengulas kerjasama bantuan, Dr. Wan Azizah menjelaskan, sebanyak 700 bakul makanan telah diagihkan hasil sinergi antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau berkata, sumbangan tersebut melibatkan peruntukan 350 bakul daripada MAIWP, Jakim (200) dan JAWI (150) sebagai manifestasi keprihatinan meringankan lelah asnaf pada masa kini.
“Kita mahu gelombang rahmah ini diperluaskan ke 14 buah negeri di seluruh Malaysia secara bersepadu agar manfaatnya dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










