SEOUL: Bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, memohon maaf pada Jumaat atas ‘kesukaran’ yang timbul akibat dekri undang-undang tentera yang dikuatkuasakan pada 2024, sehari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur ke atasnya.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada Khamis mendapati Suk Yeol bersalah mengetuai pemberontakan pada Disember 2024 yang bertujuan ‘melumpuhkan’ Dewan Negara.
Walaupun Suk Yeol mengakui usahanya untuk mengenakan pemerintahan tentera menyebabkan ‘kekecewaan’, beliau menegaskan langkah itu diambil semata-mata demi kepentingan negara.
“Saya amat memohon maaf kepada rakyat atas kekecewaan dan kesukaran yang saya timbulkan, akibat kekurangan diri sendiri, walaupun dengan tekad saya untuk menyelamatkan negara,” katanya.
Suk Yeol menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai ‘sukar diterima’, namun belum memberi sebarang petunjuk sama ada akan mengemukakan rayuan.
Tidak jelas bila bekas presiden berusia 65 tahun itu layak memohon parol, walaupun kebanyakan banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup biasanya boleh memohon selepas 20 tahun.
Hakim yang mempengerusikan perbicaraan, Ji Gwi-yeon berkata, Suk Yeol menghantar tentera ke bangunan Dewan Undangan Negeri bagi menekan pihak politik yang menghalang usaha beliau untuk mentadbir negara.
“Mahkamah mendapati niat beliau adalah untuk melumpuhkan dewan bagi tempoh yang agak panjang.
“Pengisytiharan undang-undang tentera mengakibatkan kos sosial yang amat besar, dan sukar untuk menemui sebarang tanda bahawa defendan telah menunjukkan rasa menyesal terhadap perkara itu,” kata hakim tersebut.
Pengisytiharan itu mencetuskan protes segera, menyebabkan pasaran saham panik dan mengejutkan sekutu ketenteraan utama seperti Amerika Syarikat (AS).
Pendakwa raya menuntut hukuman paling berat terhadap Suk Yeol atas pertuduhan pemberontakan, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman mati.
Korea Selatan mempunyai moratorium tidak rasmi terhadap hukuman mati, dengan banduan terakhir dihukum mati pada 1997.
Suk Yeol ketika itu merupakan presiden yang tidak popular semasa krisis undang-undang tentera berlaku.
Partinya juga tewas teruk di Dewan Undangan Negeri Korea Selatan, yang telah mengundi untuk menolak langkah belanjawan dan memulakan proses pemecatan terhadap tokoh utama dalam pentadbirannya.- AFP










