WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) supaya tidak terlibat dalam protes yang berlaku di bandar-bandar dikendalikan parti Demokrat, kecuali jika pihak berkuasa tempatan meminta bantuan persekutuan secara rasmi.
Pengumuman pada Sabtu itu selepas berminggu-minggu protes tercetus susulan penempatan besar ejen Peronda Sempadan serta Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) ke bandar Minneapolis, dan kematian dua warga AS yang ditembak oleh ejen persekutuan dalam operasi tersebut.
Trump dalam hantaran di platform Truth Social berkata, arahan tersebut disampaikan kepada Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem.
“Dalam apa juga keadaan, kita tidak akan turut serta dalam protes di bandar Demokrat kecuali mereka meminta bantuan,” katanya.
Bagaimanapun Trump menegaskan, ICE dan Peronda Sempadan akan bertindak agresif untuk melindungi bangunan persekutuan.
“Kita tidak akan membenarkan mahkamah, bangunan persekutuan atau apa-apa di bawah perlindungan kita, rosak dalam apa juga cara,” katanya.
Trump melancarkan tindakan keras imigresen tahun lepas, menyasarkan negeri dan bandar yang dipimpin Demokrat, termasuk Chicago, Los Angeles dan Portland, dengan mengatakan operasi ketenteraan itu perlu untuk mengusir penjenayah dari AS.
Operasi keras di Minneapolis, bandar terbesar di negeri Minnesota, merupakan operasi penguatkuasaan imigresen persekutuan terbesar yang pernah dijalankan, menurut pegawai persekutuan, dengan kira‑kira 3,000 ejen dikerahkan.
Operasi itu bermula pada bulan November, dengan pegawai mengaitkannya sebahagiannya dengan dakwaan penipuan yang melibatkan penduduk berketurunan Somalia.- AL JAZEERA










